Tuesday, January 18, 2011

...alhamdulillah...

Assalamualaikum...

Rasanya dah banyak hari tiada entry baru yang aku post.. Bukan tiada idea, tetapi dek melayan Baby Isyhadku yang demam berpanjangan. Malah mengheret aku mengambil cuti rehat selama 2 hari, walaupun persekolahan baru menginjak ke minggu yang kedua pada waktu tu. Apa saja untuknya, apa saja untuk permata-permata hatiku, walau nyawa sebagai galang gantinya. Terdetik dihati, mengapa ada manusia yang sanggup mendera darah daging sendiri hingga menemui ajal.

Cerita Afina? Alhamdulillah, setelah dipujuk (termasuk pakatan dengan ustazah sekolah agama) akhirnya dia mula bersekolah, malah makin ceria. Sikap mengada-ngada di dalam kelas waktu aku masuk mengajar juga berkurangan.

3 minggu persekolahan berlalu, tapi, sebenarnya aku masih belum cukup bersemangat untuk bekerja.. Tapi tak adil pada anak-anak murid kesayanganku. Pun begitu, masih cuba untuk kembalikan semangat diri yang pergi entah ke mana.. Semoga Allah memberi segala kekuatan, kesihatan yang baik untuk terus mencurah bakti di dunia pendidikan ini...Dunia yang sangat abah agungkan....

Wassalam...

Monday, January 10, 2011

Dunia terlalu kejam buat Nordiana Qistina...

Assalamualaikum.....

Aku mulakan entry kali ni dengan keratan akhbar dari Utusan Online...

Kanak-kanak 3 tahun mati didera




Nor Aqiulla Razali (gambar kecil) yang pengsan diberi bantuan selepas melihat mayat anaknya, Nordiana Qistina Nurafizan dibawa keluar dari Rumah Mayat Hospital Sultan Ismail, Johor Bahru, semalam. – utusan/Nasirruddin Yazid



JOHOR BAHRU 10 Jan. – Sukar untuk digambarkan betapa seksanya penderitaan ditanggung seorang kanak-kanak perempuan berusia tiga tahun yang menjadi mangsa dera di Kampung Sungai Tiram di sini.
Hampir keseluruhan tubuhnya penuh dengan 73 kesan lebam dan luka.
Hanya mereka yang tidak berperikemanusiaan sahaja sanggup melakukan kekejaman terhadap kanak-kanak kecil yang tidak berdosa itu.
Berikutan kecederaan itu, kanak- kanak tersebut, Nordiana Qistina Nurafizan, menghembuskan nafas terakhir kira-kira pukul 9 pagi semalam di Hospital Sultan Ismail (HSI) di sini.
Bukan hanya Nordiana Qistina, malah adiknya, Danish Irsyad berusia setahun, turut menjadi mangsa kekejaman yang dipercayai dilakukan oleh ibu tirinya. Kanak-kanak itu ini dirawat di Hospital Sultanah Aminah (HSA) di sini.
Mangsa merupakan anak kedua daripada tiga beradik dan tinggal bersama bapanya, Nurafizan Ludin, 29, seorang pekerja kilang manakala ibu tirinya pula seorang suri rumah.
Ibu kandung mangsa, Nor Aquilla Razali, 27, menetap di Pasir Gudang dan bercerai dengan Norafizan sejak setahun lalu.
Nor Aquilla ketika ditemui memberitahu, bekas suaminya itu menghubunginya untuk memaklumkan kematian Nordiana Qistina kira-kira pukul 11 pagi ini.
Wanita itu yang tidak dapat menahan perasaan setelah melihat keadaan mayat anaknya di Bilik Mayat HSI pengsan tiga kali.
Sementara itu, Ketua Polis Daerah Seri Alam, Supritendan Roslan Zainuddin berkata, kanak-kanak malang itu meninggal dunia akibat pendarahan dalaman yang serius.
“Punca kematian Nordiana Qistina adalah kerana 73 kesan penderaan di seluruh tubuhnya.
“Melalui bedah siasat, organ dalaman mangsa rosak teruk dan berdarah,” katanya kepada pemberita di sini hari ini.
Roslan berkata, mangsa dihantar oleh bapanya ke HSI kira-kira pukul 8.25 pagi semalam namun disahkan meninggal dunia tidak lama selepas itu.
Beliau memberitahu, ibu tiri mangsa sedang dicari dan dia berkemungkinan akan ditahan dalam tempoh terdekat bagi membantu siasatan kes itu mengikut Seksyen 302 Kanun Keseksaan.
Utusan Malaysia difahamkan, bapa mangsa membuat laporan polis mengatakan anaknya itu meninggal dunia kerana lemas ketika mandi dalam sebuah besen di rumahnya.
Jenazah Nordiana Qistina selamat dikebumikan di kampung datuknya di Felda Tenggaroh, Mersing, kira-kira pukul 5 petang tadi.

Sedihkan...? Sangat terkejut bila si ibu seorang yang aku sangat kenali suatu masa dahulu.. Nor Aquilla Razali, salah seorang dari ribuan bekas anak muridku.. Aku sangat mengingatinya kerana dia salah seorang muridku yang sangat cerdik...apatah lagi dia merupakan sahabat adikku yang ku panggil Kakak (Mimi).. Tapi Aquilla memilih untuk mendirikan rumahtangga awal, dan telah dikurniakan 3 cahayamata yang comel... Tapi ini suratan hidupnya.. Aku bersedih...Satu Malaysia juga kukira kecewa dengan apa yang berlaku... Semoga Nordiana Qistina akan mendapat pembelaan sewajarnya...

Wassalam...

Sunday, January 9, 2011

Tenanglah dikau di sana....

Assalamualaikum...

Posting kali ni, bukan sambungan pasal Afina tak nak ke sekolah, tapi aku nak bercerita tentang kepulangan ku ke kampung halaman. Sebenarnya ada beberapa tujuan kepulangan ku ke sana... Selain menjengah ibu, mengambil si kecil Isyhad yang telah 4 hari di kampung, aku pulang kerana aku ingin sekali menziarah pusara abah.

Hanya setelah 42 hari abah pergi, baru lah aku menjejakkan kaki ke sana. Selama hari ni, aku hanya memerhati dari luar pagar tanah perkuburan tu..kalau tak pun, aku akan bertanya dengan adik beradik yang lain tentang keadaan pusara abah. Kenapa..? Aku pun tak tau kenapa...tak cukup kuat mungkin. Bukan takut, tapi bimbang gagal mengawal diri dari kesedihan yang melampau.. Abah tak suka.

Jadi...pada pagi Sabtu yang lepas, aku,Nua, Isyraf dan Afina pergi juga ke situ. Cuaca agak mendung..Tp Alhamdulillah, tak hujan.

 Terdiam aku seketika di pusara tu... Aku berada di pusara abah... Aku yakinkan diri yang abah telah bersemadi di situ. Ah...pusara abah...kubur abah...atau apa saja disebut untuk menyatakan maknanya. Macam mimpi...betul-betul macam mimpi. Kalau sebelum ni aku tak rela kehilangan dia walau dalam mimpi...tapi aku telah menerima hakikat yang dia dah tak ada bersama kami lagi.... Aku rasa cukup kuat pada waktu tu.. Takde setitis air mata pun yang mengalir.. Afina pulak asyik memerhatikan aku.. Aku tau, dia nak memastikan samada aku menangis atau tak... Tapi memang aku tak menangis pun. Setelah habis bacaan Surah Yasin serta doa ringkas untuknya, aku melangkah pergi...



Sebelum aku meninggalkan kawasan tanah perkuburan tu, aku singgah sebentar di pusara atuk yang amat aku sayang yang telah meninggalkan kami selama 10 tahun.. Ketika aku sampai di pusara atuk, tanpa boleh ditahan, air mata gugur juga.. Bukan kerana masih bersedih atas pemergiannya...tetapi kerana terlihat tulisan khat yang terpampang diatas bati nisan atuk. Itulah tulisan tangan abah,khat yang diabadikan diatas nisan mertuanya....

Pada abah, atuk serta semua insan yang disayangi yg telah pergi....semoga kalian tenang di sana...sesungguhnya aku juga akan menyusuri jejakmu di sana nanti... Al-fatihah....

Thursday, January 6, 2011

....kenapa dia tak nak pergi sekolah lagi....?

Assalamualaikum...

Hari ni hari keempat persekolahan...maknanya dah empat hari Afina bersekolah. Tapi hari ni hari kedua dia tak ke sekolah agama. Kalau semalam dia beri alasan keletihan sampai nangis teresak-esak...aku terima. Tapi hari ni, bila dia dah bersiap-siap dengan uniformnya, tiba-tiba dia menangis di depan pintu rumah. Si abah mengamuk sakan, ditinggalkan Afina yang tengah menangis. Memang geram sebenarnya dengan gelagat dia.

Aku tau, dia taknak ke sekolah agama sebab kawan-kawan dia bersekolah di sekolah yang satu lagi (kt sini ada 2 sekolah agama). Tapi memandangkan si abang bersekolah di situ, kami sepakat menghantar dia ke tempat yang sama. Tapi nampaknya dia protes. Dalam kelas di sekolah kebangsaan..bila tiba masa aku mengajar, dia tak nak pandang aku. Dia lambat siapkan kerja. Yang aku suruh buat, semua dia bagi alasan tak tau..padahal semua kerja yang mudah je. Kemuncaknya, waktu aku tengah mengajar, dia datang pada aku dan dia cakap yang dia tak nak bersekolah agama di situ.

Aku cuba pujuk...kenalkan dia dengan seorang murid baru yang comel dari Johor Bahru, Khaleesya namanya. Khaleesya bersekolah agama yang sama dengan Afina. Pada awalnya mcm ok..rasanya dia dah nak sekolah kat situ. Tapi bila tiba masa nak pergi sekolah...dia tetap menangis. Isyraf cakap, ustazah dia garang... Segarang mana agaknya ek..? Sebab aku pun garang. Esok tak tau la macamana. Kalau terpaksa, mungkin aku akan pindahkan ke sekolah impian dia tu... Haaaiiii anak..entah lah. Kalau ada abah, mesti abah tau macamana nak motivate budak macam ni......

Wednesday, January 5, 2011

...rindu....

Assalamualaikum...

Baru sehari Isyhad balik kampung duduk dengan ibu.. Tp rasa rindu giler. Tengah malam pun terjaga, rasa macam nak buat susu dia, tp dia xde. Takpe la.. Yang penting ibu happy..Aku pun boleh tido lama sikit..hehehe..Tak sabar nak tunggu Jumaat nak jumpa Isyhad. Nak pergi 'rumah baru' abah jugak..

...40 hari...

Assalamualaikum...

Esok, genap 40 hari pemergian abah. Sedihnya masih terasa. Minda aku seolah-olah masih terperangkap pada tarikh 28 November 2010. Masih berlegar-legar. Masih terdengar kali terakhir abah panggil namaku. Aku rasa adik-adik yang lain pun macam tu jugak. Apatah lagi ibu. Tapi kehidupan perlu diteruskan. Tak banyak yang berubah sejak abah pergi. Pakaian abah masih disitu. Katilnya juga. Kalau Abang Chik balik dan dia tido sebentar disitu, aku tau, dia cuba melepaskan rindunya pada abah.

Hujung minggu ni juga aku akan balik ke kampung. Janji aku pada Isyraf dan Afina, nak bawak ke pusara Yaie mereka. Destinasi abah yang terakhir. Ibu pula agak ceria bila aku pinjamkan Isyhad... Tak pe la. Mungkin itu cara dia melepaskan kesedihannya. Bukan mudah untuk kami pulih dari kesedihan ni, apatah lagi ibu. Dia kehilangan orang yang dicintainya.

Abang Widad masih belum ditempatkan di mana-mana sekolah. Takpe la...sekurang-kurangnya ada orang yang ibu boleh leterkan. Takde la sunyi sangat rumah. Harap-harap Abang Widad posting tak jauh dari rumah. Tapi kalau jauh....? Macamana dengan ibu agaknya...? Dia tak nak tinggal dengan anak-anak.

Untuk abah...
Ayu doakan, abah sejahtera di sana...insyaAllah...al-fatihah....

Akhirnya aku bukak blog...

Assalamualaikum...
Tiba-tiba rasa nak menulis... tak tau kenapa...Dari aku banyak bercakap dalam hati...baik aku tulis. Dah lama nak buat blog, tapi selalu tak kesampaian. Tak tau apa nak share, apa nk ditulis..Tapi sejak abah takde, aku rasa banyak benda yang aku nak dokumentasikan. Siapa nak baca? Entah la...aku sorang kot. Tapi xpe la. Asalkan aku boleh menulis. Harap-harap aktif la blog aku ni....